Thursday, 10 July 2014

Kebaikan Memulihara dan Memelihara Bangunan Bersejarah


Negara Malaysia sememangnya menjadi tempat tumpuan pelancong terutama dari negara Asia Barat dan Eropah. Berbagai-bagai tempat menarik yang boleh dilawati di negara kita yang tercinta ini sama ada untuk meninjau keindahan alam semulajadi ataupun berkunjung ke tempat-tempat bersejarah yang masih berdiri utuh di beberapa buah negeri di semenanjung. Oleh hal yang demikian, langkah kerajaan dalam memelihara dan memulihara bangunan-bangunan bersejarah mendatangkan banyak manfaat kepada masyarakat dan juga negara.

Manfaat paling utama dalam memelihara dan memulihara bangunan bersejarah ialah dapat menarik lebih ramai pelancong untuk melancong ke negara kita. Bangunan-bangunan bersejarah yang dipelihara dengan baik dengan membaik pulih struktur-struktur yang rosak mampu mengekalkan keaslian bangunan  berkenaan. Pelancong yang datang pastinya tertarik akan keaslian binaan yang terdapat pada bangunan berkenaan. Lihat sahaja Bangunan Sultan Abdul Samad yang telah dibina pada tahun  1893 masih lagi berdiri kukuh menjadi tumpuan utama pelancong di Kuala Lumpur.

Selain dapat menarik pelancong, pemuliharaan dan pemeliharaan bangunan bersejarah juga dapat mengekalkan keaslian seni bina sesuatu bangunan. Sebagai contohnya, Masjid Ubudiah yang terletak di Kuala Kangsar yang telah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Jalil Karamatullah Shah pada tahun 1917 masih kekal bentuknya seperti asal. Masjid berbentuk oktagon ini dipulihara dengan mengekalkan keaslian seni binanya supaya tidak lapuk dek hujan tidak lekang dek panas. Menurut sejarah pembinaanya, batu marmar yang digunakan sebagai bahan binannya telah diimport dari Itali.

Di samping itu, dengan memelihara dan memulihara bangunan bersejarah ini juga dapat menjadi sumber maklumat sejarah kepada para pelajar mahupun para pengkaji sejarah. Tidak kenal maka tidak cinta, begitulah peribahasa yang dapat menggambarkan perasaan kita terhadap sesuatu sumber sejarah. Degan melawat tempat-tempat bersejarah seperti Kota A'Famosa boleh menimbulkan minat terhadap pelajaran sejarah. Monumen berkenaaan juga mampu menjadi sumber maklumat kepada para pengkaji sejarah untuk mendapatkan maklumat dengan lebih khusus lagi terutamanya tentang kedatagan Portugis ke Melaka.

Sebagai kesimpulan, ada banyak manfaat yang dapat diperoleh dengan memulihara dan memelihara bangunan bersejarah di negara kita. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan, swasta mahupun individu haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi mempromosikan lagi nama Malaysia ke persada dunia. Bangunan-bangunan bersejarah yang dijaga dengan baik tidak mustahil dapat menarik lebih banyak pengunjung untuk datang ke Malaysia seterusnya menjana pendapatan dalam kalangan masyarakat setempat dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.

Faedah-Faedah Melibatkan Diri Dalam Aktiviti Sukan


Sukan ialah segala kegiatan yang memerlukan kemahiran atau ketangkasan serta tenaga yang dilakukan sama ada sebagai acara pertandingan, hiburan atau untuk mengisi masa lapang dan beriadah. Pada tahun yang lalu, kerajaan telah memperkenalkan dasar 1Murid 1Sukan kerana menyedari kepentingan bersukan. Contoh aktiviti sukan yang agak popular kini ialah seperti olahraga, renang, bola sepak, tenis, badminton dan skuasy. Persoalannya apakah faedah jika seseorang murid itu melibatkan diri dalam aktiviti  bersukan?

Faedah bersukan yang utama kepada murid ialah sukan dapat meningkatkan disiplin. Hal ini demikian kerana individu yang ingin berjaya dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi dan dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya, setiap pemain dalam sesebuah pasukan itu mesti menepati masa, rajin berlatih, tidak merokok dan mematuhi arahan jurulatih.  Oleh itu, secara tidak langsung sukan juga turut membentuk disiplin murid tersebut.

Seterusnya, sukan juga penting bagi melahirkan seseorang murid yang sihat. Hal ini demikian kerana bersukan boleh menguatkan otot dan tulang serta menyihatkan badan. Misalanya, seseorang murid yang bersukan pada setiap petang akan membakar lemak berlebihan dalam badan. Oleh itu, murid yang aktif bersukan jarang mendapat demam dan selesema berbanding dengan rakan-rakannya yang tidak bersukan.

Selain itu, seseorang murid yang aktif dalam kegiatan sukan akan terdidik untuk mengagihkan masa dengan sewajarnya kerana masa itu emas. Hal ini dikatakan demikian kerana murid tersebut akan menentukan masa yang sesuai untuk  memberikan tumpuan terhadap sukan dan masa untuknya  belajar.  Contohnya, seseorang murid yang menyertai pasukan sekolah mesti ada jadual latihan sukan dan jadual belajar. Oleh itu, seseorang murid yang aktif dalam sukan juga berjaya dalam pelajaran.

Faedah berikutnya, sukan juga membentuk murid menjadi seseorang yang berfikiran positif. Hal ini dikatakan demikian kerana dengan aktif bersukan seseorang itu dapat berfikir secara rasional dan berkeyakinan tinggi serta tidak cepat berputus asa. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei  tetap tidak berputus asa walaupun gagal meraih pingat emas dalam sukan Olimpik baru-baru ini. Oleh itu, sukan penting dalam melahirkan murid yang berfikiran positif.

Akhir sekali, murid yang aktif bersukan juga dapat menggunakan masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat. Hal ini dikatakan demikian kerana biasanya murid yang aktif dalam bidang sukan tidak berminat bermain permainan komputer dan tidak akan menghabiskan masanya untuk berpeleseran di pusat beli-belah, menonton televisyen dan berbual-bual kosong. Oleh itu, sudah pasti mereka akan menghabiskan masa dengan lebih bermanfaat.

Izharnya, jelaslah di sini bahawa melibatkan diri dalam sukan banyak membawa faedah kepada murid. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan banyak kemudahan untuk bersukan di sekolah. Ibu bapa pula patut menggalakkan anak-anak mereka bersukan. Begitu juga dengan guru-guru perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sukan.  Saya percaya dengan adanya kerjasama antara semua pihak lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang akan menyerlah di peringkat antarabangsa, asalkan kita tidak melakukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.